­

TERJUN BOTOL DAN PERAPUNGAN

March 07, 2020

AMSAS, PAHANG 27 Oktober 2019 - MARKAS PALAPES UMP telah mengadakan Latihan Berterusan Terjun Botol dan Perapungan bagi Pegawai Kadet Junior dan Intermediate serta disertai oleh LT Nor Haswani Bt Zulkifli, para Pegawai Muda dan jurulatih selama sehari di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS). Latihan tersebut diadakan bagi mengajar para kadet teknik perapungan yang betul bagi membentuk kemampuan diri dan menjadikan para kadet individu yang mampu menyelamatkan diri sendiri dan orang awam apabila diperlukan atau situasi lemas berlaku. Bagi aktiviti terjun botol 7 meter pula, para kadet dilatih mempunyai keberanian serta keyakinan yang tinggi dan meletak tepi perasaan takut atau gayat agar dapat terjun menggunakan teknik yang betul serta mengaplikasikan teknik perapungan yang dipelajari.

Sebelum aktiviti dimulakan, para kadet harus memakai pakaian renang yang sesuai dan ditetapkan, kemudian mendengar taklimat yang diberikan oleh jurulatih yang berkenaan. Seterusnya, mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan bergilir-gilir diajar serta melakukan aktiviti perapungan tersebut yang diawasi oleh beberapa orang jurulatih dan Pegawai Muda. Beberapa buah pelampung juga turut disediakan jika berlaku sebarang kecemasan.
Setelah selesai latihan perapungan, mereka dikehendaki melakukan aktiviti terjun botol berketinggian 7 meter serta mengaplikasikan teknik perapungan yang telah dipelajari. Terjunan dimulai oleh para Pegawai Kadet Junior serta disusuli oleh para Pegawai Kadet Intermediate dengan cara melapor kepada Pegawai Muda kemudian terjun dengan posisi tangan dan kaki rapat ke sisi serta kepala tegak memandang ke hadapan. Setelah sampai ke dasar kolam, mereka perlu mengaplikasikan teknik perapungan yang dipelajari dan jika tidak berjaya, jurulatih akan membantu kadet tersebut. Apabila telah selesai dan selamat terjun, para kadet perlu melapor kembali kepada Pegawai Muda bertugas. Latihan Terjun Botol dan Perapungan ini dilihat memberi pelbagai manfaat serta input baru kepada para kadet selain membentuk skill dan keperibadian yang unggul, menjadikan mereka individu yang berkemampuan dan mampu membantu orang awam selaras dengan tugasan mereka sebagai bakal pegawai tentera.
by PKW Dira Nadia Padzil

0 comments